Ads

Powered by Blogger.

DIY & IT

[3][Diy][display-contents][Projek DIY/Technology][Slider Loads Posts]

12 February 2019

Pikat Anak Makan Sayur

| No comment

Sayur-sayuran ni banyak sangat kebaikannya tetapi ramai kanak-kanak tak suka makan. Hari ini admin nak kongsi info yang bermanfaat berkenaan kelebihan sayur-sayuran yang ditulis oleh DR Tee E Siong. Info ini diambil dari sumber laman web (http://www.nutriweb.org.my). Jom Baca!

----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pikat anak suka makan sayur setiap hari

Oleh DR TEE E SIONG

PADA waktu makan malam anak menghabiskan semua makanannya kecuali sayur-sayuran dan ia dibiarkan di tengah pinggan dan membentuk bagaikan sebuah pulau hijau. Usah kecewa melihatkan hal ini kerana anda bukanlah satu-satunya ibu bapa yang menghadapi masalah ini. Kebanyakan ibu bapa juga gagal memberi sayur-sayuran kepada anak mereka.


Bagaimanapun, memang tidak dinafikan sayur-sayuran adalah penting untuk diet anak anda. Doktor dan ahli pemakanan seluruh dunia bersetuju mengenai kepentingan sayur-sayuran.

Program Pemulaan Pemakanan Ceria (Bright Start Nutrition atau BSN) juga memberi penekanan yang sama terhadap sayuran. Anda boleh mendapati kami telah memasukkannya dalam Mesej Utama yang Ketiga dalam Panduan Pemakanan BSN, iaitu "Galakkan pengambilan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran untuk membekalkan vitamin dan mineral".

Ini juga dititikberatkan dalam Piramid Panduan Makanan. Sayur-sayuran telah diletakkan pada aras kedua dan harus diambil paling banyak selepas makanan karbohidrat.

Kebaikan sayur-sayuran tidak terhingga. Pertama, ia rendah lemak, kalori dan natrium serta tidak mengandungi kolesterol. Selain itu, sayur-sayuran juga mengandungi vitamin, mineral, serat, karoteinoid dan bahan bio-aktif (dipanggil sebagai bahan fitokimia).

Sebenarnya, setiap jenis sayuran mempunyai pakej nutrien yang tersendiri. Maka, setiap jenis sayur-sayuran berbeza dari segi jumlah dan jenis nutrien yang dibekalkannya.

Vitamin dan mineral dalam sayur-sayuran membantu dalam tumbesaran dan perkembangan, membina sistem imun yang sihat dan memelihara kesihatan secara keseluruhannya. Jika anak anda kekurangan vitamin dan mineral yang penting ini, dia mungkin lebih terdedah kepada pelbagai jangkitan dan penyakit.

Serat diet yang terdapat dalam sayur-sayuran membantu membina sistem penghadaman yang sihat dan mencegah sembelit di kalangan kanak-kanak. Karotenoid pula sebenarnya adalah sejenis bahan fitokimia yang boleh melindungi anak anda terhadap pelbagai penyakit kronik.

Cara terbaik untuk memastikan anak anda mendapat semua khasiat sayur-sayuran adalah dengan memberikannya berbagai-bagai jenis sayur-sayuran. Jadi, pastikan makanan harian anak anda mengandungi pelbagai jenis kumpulan sayuran berikut:
  • Sayuran berdaun hijau, misalnya bayam, sawi, kailan, kangkong.
  • Sayuran berbatang, misalnya celeri.
  • Sayuran jenis akar, misalnya lobak.
  • Sayuran jenis buah, misalnya tomato, terung.
  • Sayuran kekacang, misalnya kacang buncis, kacang panjang.
  • Sayuran jenis bunga, misalnya kobis, kubis bunga, brokoli.
Dengan itu, pastikan anak anda mengambil dua hidangan sayur-sayuran setiap hari yang mana ia adalah bersamaan dengan setengah cawan sayuran daun hijau yang telah dimasak bersama dengan batangnya yang boleh dimakan, dan setengah cawan lagi sayuran jenis lain.

Fikirkan! anak anda hanya memerlukan dua hidangan sayuran setiap hari, dan anda boleh saling ganti antara begitu banyak jenis sayuran setiap hari.

Satu cara untuk memastikan anak anda suka sayur-sayuran adalah dengan memberi sayur-sayuran kepada mereka sejak kecil.

Ini boleh dilakukan semasa makanan pelengkap mula diberikan, iaitu dari umur empat hingga enam bulan ke atas. Inilah masanya anak anda diperkenalkan kepada pelbagai makanan separuh pejal. Jadi, sayur-sayuran yang diberikan itu haruslah dilumatkan atau dimasak sehingga lembut, dan diberikan satu hingga dua sudu teh setiap kali.

Membiasakan anak dengan rasa sayur-sayuran sejak usia muda dapat membantu mengurangkan kebarangkalian anak anda tidak suka akan sayur-sayuran semasa mereka membesar kelak.

Sekiranya anda baru saja hendak memperkenalkan sayur-sayuran kepada anak yang berada di peringkat bertatih atau pra-sekolah, anda mungkin akan menghadapi masalah.

Bagaimanapun, anda tidak perlu berasa risau kerana masih belum terlambat. Anda hanya perlu terus memujuknya dengan sabar untuk mengambil sedikit sayuran setiap kali makan. Berikan jumlah yang kecil setiap kali.

Anda juga boleh menggalakkan anak anda mengambil sayur-sayuran dengan memberikan contoh yang baik. Galakkan seisi keluarga untuk mengambil pelbagai sayur-sayuran. Tunjukkanlah kepada anak anda betapa anda menikmati sayuran itu, dan dia mungkin juga ingin mencuba.

Seperti makanan lain, sayur-sayuran juga perlu dimasak dengan cara yang sedap untuk merangsangkan deria rasa. Mempelbagaikan cara memasak setiap hari adalah satu cara untuk menarik minat anak anda terhadap sayuran.

Berikut adalah beberapa ilham dalam menyediakan sayuran:
  • Menggoreng (dengan sedikit minyak), mencelur, mengukus atau masak dengan ketuhar gelombang mikro untuk mengelakkan kehilangan nilai pemakanan, memelihara kerangupan dan kandungan air dalam kebanyakan sayur-sayuran.
  • Untuk sayuran jenis akar, buatkan stew untuk mengurangkan masa memasak dan membantu mengeluarkan rasa dan nutrien terutamanya karoten.
  • Membuat sup dengan sayuran seperti kobis, akar teratai, sawi, bayam dan buah kundur.
  • Menghidangkan sayuran secara mentah, misalnya daun salad, lobak dan timun, sebagai snek yang berkhasiat - misalnya, kepilkan beberapa keping timun dan tomato dalam sandwic dan celupkan batang lobak atau timun dalam dadih.
  • Sesetengah sayuran (terutamanya lobak putih dan lobak merah) boleh digunakan dalam kek dan makanan istimewa seperti popiah.
Adalah baik untuk membabitkan anak anda dalam kerja penyediaannya yang mana mereka mungkin ingin menikmati usaha sendiri sehingga tidak sabar untuk merasainya.

Usaha anda itu mungkin tidak mudah dan selalunya mengecewakan. Bagaimanapun, ingatlah bahawa cara untuk menggalakkan anak anda makan sayuran adalah dengan mengubah pendapat mereka terhadap sayuran.

Jangan memaksa atau memarahi anak anda terhadap pengambilan sayuran; jika tidak, mereka mungkin akan marah kepada anda, dan sayur-sayuran. Sebaliknya anda harus memberitahu secara berterusan mengenai kebaikan sayuran dan menggalakkan untuk menerokai keenakan sayuran sendiri. Jadikanlah kegiatan makan itu seronok dan penuh dengan daya imaginasi.

Panduan mengenai sayur-sayuran
  • Pilih sayuran berdaun dengan tekstur yang teguh dan warna yang cantik.
  • Pilih sayuran jenis akar dan buah yang teguh dan berwarna cerah.
  • Elakkan daripada mengambil sayuran jenis buah yang lebam dan yang mempunyai kulit yang pecah.
  • Balut sayuran dengan kertas yang bersih dan kering sebelum memasukkannya ke dalam peti sejuk. Bayam dan brokoli boleh tahan sehingga lima hari jika disimpan dalam bahagian penyimpan sayuran atau buah-buahan di peti sejuk. Kobis pula boleh disimpan lebih lama jika ia dibiarkan kering dalam suhu bilik sebelum disimpan dalam peti sejuk.
  • Sayuran mesti dibersihkan secara menyeluruh dengan beberapa kali tukaran air sebelum dimasak atau dimakan. Potong sayuran hanya selepas ia dibersihkan untuk mencegah kehilangan nutrien ke dalam air.
  • Sayur-sayuran yang segar dari pasar adalah yang terbaik. Sayuran dalam tin boleh dimakan sekali-sekala.


Dr Tee E Siong ialah Pengerusi Panel Penasihat Program Permulaan Pemakanan Ceria (BRIGHT START Nutrition) dan Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia.
Tags :

No comments:

Post a Comment

Featured post

DIY - Pemasangan Shiplap Wall

Entri kali ini saya ingin berkongsi projek DIY pemasangan Shiplap Wall di rumah saya. Pemasangan shiplap wall ini amat mudah dan memerlukan ...

Popular Posts

Category